Friday, 17 August 2012

USOP SONTORIAN




Usop Sontorian ialah siri animasi Malaysia yang pertama. Siri kartun tersebut direka oleh Ujang bersama Kamn Ismail dan diterbitkan oleh Kharisma Pictures Sdn. Bhd. 1993-1996
Usop Sontorian mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang bernama Usop yang tinggal di Kampung Parit Sonto yang terletak tidak jauh dari pekan Ayer Hitam, Johor. Dia tinggal bersama ibu bapanya dan merupakan anak yang bongsu dalam keluarga. Kakaknya gemar menyuruhnya ke kedai runcit membeli asam boi manakala abangnya pula gemar berbasikal keliling kampung untuk mencari Usop. Usop mempunyai beberapa orang kawan sekampung sepeti Abu, Dol, Ah Kim, Vellu dan Singh. Dia juga memiliki seekor ayam yang selebet bernama Selebet.


Siri Usop Sontorian telah dihasilkan sebanyak 49 episod antaranya: Lari Dari Rumah, Kawan Baru, Peminat Setia, Dol Pindah, Main Gitar, Pendekar, Bermain Rakit, Berkhemah, Selebet, Olahragawan, Ketua Kelas, Misi Mustahil, Abu Oh Abu, Kartini, Anak Gajah, Budin Ke KL, Sayang Kak Kiah, Dunia Air, Merdeka dan lain lain.


Siri ini telah mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan menjadi siri animasi pertama di tv Malaysia, melatih dan mengembangkan bakat-bakat pelukis yang dicungkil dari seluruh negara dalam beberapa siri jelajah temuduga. Karyawan animasi Usop Sontorian adalah seramai 94 orang pada penghujung 1996. Siri ini telah dirasmikan pelancarannya oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat pada 20 Januari 1996 di PWTC.

Usop Sontorian juga turut mencipta sejarah apabila mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Jepun ketika ditayangkan di Festival Animasi Asia ( Hiroshima )pada Jun 1996. Kini, Usop Sontorian berlegar di seluruh dunia dengan pelbagai tajuk antaranya, Usop Dan Kawan-Kawan, Adventures Of Usop dan Usop And Geng.

Sebahagian daripada episod "Usop Sontorian - Meriam Buluh"






 Credit Wikipedia & youtube

Sunday, 12 August 2012

BOBOI BOY


BoBoiBoy
Boboi Boy
Sinopsis BoBoiBoy

BoBoiBoy mengisahkan tentang kisah seorang kanak-kanak yang datang untuk bersama datuknya, Tok Aba, yang menyara hidup dengan menjual segala jenis produk coklat di gerai bergerak miliknya. Disebabkan gerai coklat Tok Aba sangat popular dan produknya digemari ramai, BoBoiBoy berpeluang untuk berkawan dengan Gopal, Ying dan YaYa. Perkenalan mereka kemudiannya berubah menjadi sebuah persahabatan akrab, dan akitiviti harian mereka dilakukan bersama dengan penuh ceria dan menyeronokkan.

Namun, pada satu hari BoBoiBoy mendapat tahu bahawa satu makhluk asing bergelar Adu Du sedang cuba untuk mencuri hasil koko milik Tok Aba, dan percubaan Adu Du berjaya dipatahkan oleh BoBoiBoy. Rupa-rupanya, biji koko tersebut boleh digunakan sebagai satu sumber tenaga yang sangat kuat setelah diubah ke dalam bentuk cecair. Makhluk asing mendapati bahawa penemuan ini sangat penting bagi mereka yang sedang kehabisan punca tenaga, dan ini akan menyebabkan segala teknologi canggih ciptaan mereka tidak dapat berfungsi lagi.


BoBoiBoy

Lebih menarik, hanya minuman coklat panas istimewa milik Tok Aba sahaja yang cukup berkuasa berbanding biji cecair koko yang lain, hanya kerana terdapat satu resipi rahsia yang hanya diketahui oleh Tok Aba.

Setelah mengetahui tentang perkara ini, sang Maharaja memerintahkan Adu Du untuk mencuri resipi rahsia Tok Aba. Akan tetapi, misinya menjadi lebih sukar dengan kehadiran BoBoiBoy dan rakan-rakannya yang sangat gemarkan coklat dan sering bersantai di gerai Tok Aba. Demi menjayakan misi ini, sang Maharaja telah menghantar pelbagai peralatan serba canggih kepada Adu Du, tetapi BoBoiBoy telah menjumpainya dengan secara tidak sengaja. Peralatan canggih tersebut telah mengubah BoBoiBoy dan rakannya menjadi sekumpulan adiwira!
BoBoiBoy

Kini, BoBoiBoy, Gopal, Ying dan YaYa menjalani aktiviti mereka dengan penuh keseronokkan dan hidup menjadi lebih menarik, seperti apa yang akan dilakukan oleh kanak-kanak yang mempunyai kuasa hebat, pada kebiasaannya. Semestinya, kuasa tersebut juga akan digunakan sepenuhnya untuk menentang Adu Du yang tidak pernah berputus asa untuk merampas kembali peralatan canggih miliknya, seterusnya mencuri resipi rahsia Tok Aba.


 

UPIN & IPIN DAN KAWAN KAWAN


 


UPIN & IPIN DAN KAWAN KAWAN

Upin & Ipin ialah tajuk bagi sebuah siri animasi tayangan singkat yang dihasilkan oleh syarikat animasi Les' Copaque di Malaysia, dan juga nama bagi dua watak utama siri ini. Upin & Ipin merupakan keluaran sampingan bagi filem Geng: Pengembaraan Bermula yang juga menampilkan watak utama siri animasi tersebut.

Mula-mulanya, Upin & Ipin disiarkan sempena bulan Ramadan pada tahun 2007 Masihi di TV9 (Malaysia), dengan tujuan mendidik anak-anak agar menghayati erti bulan mulia, kini menjangkaui lima musim dan tidak terhad pada televisyen, bahkan juga dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet. Upin & Ipin juga berjaya dipasarkan di luar negara, khususnya negara jiran Indonesia.

Atas kejayaan menambat hati penonton serantau, Upin & Ipin disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai "Animasi Paling Berjaya" pada tahun 2011. Selepas filem Geng, watak Upin & Ipin bakal membintangi sebuah lagi filem cetera berjudul Laksamana Upin & Ipin yang dijangka keluar pada tahun 2012.


Credit to perekacerita

Wednesday, 1 August 2012

KELUANG MAN


Keluang Man ialah satu siri animasi yang popular di Malaysia. Mengisahkan seorang pemuda yang tinggal di Hospital Bahagia Tumpoi sebenarnya adalah seorang pembela manusia sejagat iaitu Keluang Man. Pembantunya Tiongman sering membantunya menumpaskan musuh negara kerana pihak polis kawasan Tampoi yang diketuai oleh Inspektor Sahab seringkali terlambat sampai ke tempat kejadian manakala Khaty Ismail, seorang wartawan akhbar Metropolitan Tumpoi sering pula cuba menjejaki supehiro misteri ini. Kadangkala gelagatnya seolah-olah sudah jatuh cinta dengan hero sebutan ramai ini.


Disebalik topeng Keluang Man adalah adalah seorang pesakit di sebuah hospital gila, Burhan. Dia merupakan seorang jaguh silat sebelum dimasukkan ke hospital gila. Keluang Man adalah berdasarkan watak Batman. Keluang ialah sejenis kelawar besar.
 
Samad ialah rakan karib Borhan di Hospital Bahagia Tumpoi, sebelah malamnya menjadi Tiongman pembantu Keluang Man. Dia mempunyai seorang kekasih bernama Aishah tetapi dia memutuskan hubungan dengan Aishah kerana orang ramai mengatakan bahawa dia sudah gila dan hanya layak menetap di Hospital Bahagia Tumpoi. Sebelum dimasukkan ke hospital itu, Samad merupakan seorang mekanik yang berjaya, namun kejadian letupan yang tak disengajakan berlaku di bengkelnya menyebabkannya hilang ingatan dan perlu dipulihkan. Watak Tiongman adalah berdasarkan watak pembantu Batman, Robin.
Dialog popularnya ialah: "Abang dah gila, Ecah! Abang dah gila!!" kata-kata Tiongman apabila Aishah masih lagi mahu berjumpa dengannya di Hospital Bahagia manakala babak yang paling menarik bagi watak Aishah adalah tika dimana Tiongman secara tidak sengaja terlucut sarung tangan ketika cuba menyelamatkan Aishah, hingga menampakkan cincin yang pernah dihadiahkannya kepada Samad, dan tanpa pengetahuan Tiongman, sebenarnya Aishah sudah mengetahui identitinya.

Intro Keluang Man


Credit to wikipedia & youtube
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...